Tips Mengurangkan Tekanan
Oleh : Ustazah Norihan Mohd. Noor
Pendahuluan
Kita
adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah, namun kita masih tidak
terlepas daripada menghadapi tekanan ketika bekerja. Pelbagai tekanan
yang dihadapi menyebabkan hati menjadi runsing dan semua kerja tidak
akan terlaksana. Tidak mustahil bagi individu yang berhadapan dengan
masalah ini akan terbawa-bawa ke rumah hingga anak-anak pula menjadi
mangsa. Namun, hati akan menjadi tenang sekiranya kita kembali kepada
Allah. Apa jua yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada Al-Quran dan
Al-Sunnah disertai dengan niat yang ikhlas semata-mata untuk mendapat
keredhaan Allah.
Terdapat beberapa tips yang kita boleh amalkan bertujuan mengurangkan tekanan hidup. Antaranya ialah :
1) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa
kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk
sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan
mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan
diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang
dibaca akan mudah diingati.
2) Perbanyakkan membaca Al-Qur'an
Ganjaran
yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran
walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran
ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika
berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman
paling akrab pada sepanjang waktu.
3) Banyakkan Solat Sunat
Sebagai
makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal
ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat
sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara
pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada
sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh
ketenangan dan kekuatan daripada Allah.
4) Selalu berdoa kepada Allah
Allah
telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti
kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan
secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat,
tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu
azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap
hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa
sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang
bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu
di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.
5) Bersangka baik dengan Allah
Kita
sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan
ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang
Berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu,
kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan-Nya
jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa
tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.
6) Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
Orang
ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang
cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita
melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan
seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita
meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan
juga akan bertambah erat dan kukuh.
7) Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan
makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu
faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan
tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang
tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit
kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.
8) Menangis dengan sepuas hati
Tekanan
yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan
melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita
itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam
hati boleh menyebabkan diri merana. "Luaran lain hati lain" ada
sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka
seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh,
bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang
Maha mengurangkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja.
9) Hargai kebolehan diri sendiri
Kita
perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita
mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk
melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu
bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh
dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting
ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup
dengan lebih ceria.
10) Cintai diri sendiri
"Cintailah
diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain". Jelas
daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita
perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri
kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu
dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu
memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.
Kesimpulan Sebagai kesimpulannya, tekanan kerja bukanlah satu bebanan
yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang
tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami
pastinya akan dapat diselesaikan dengan jayanya
No comments:
Post a Comment